Part 1 of 27
Lambat laun kita akan tiba juga di suatu ketika di mana kita akan berhenti dan bertanya... “Ini sahajakah kehidupan di dunia ini?” Dilahirkan di suatu tempat. Dibesarkan di suatu tempat. Pergi ke sekolah rendah, sekolah tinggi dan sekolah yang lebih tinggi (Kolej atau Universiti) di mana kita belajar sesuatu yang telah ditetapkan oleh suatu watak yang kita panggil “pihak berkuasa”.
Dengan pengetahuan yang kita telah susah payah timba ini, kita seterusnya dipaksa masuk pula ke alam pekerjaan dan mula bekerja bagi mendapatkan sesuatu yang yang dipanggil “wang”. Ya... kita telah diajar untuk merasakan wang amat penting untuk membolehkan kita meneruskan hidup. Semakin lama kita hidup, semakin banyak wang yang kita perlukan. Tidak boleh hidupkah tanpa wang? Kita tinggalkan dulu persoalan tentang wang dan kita tengok pula tentang sesuatu yang lain.
[Nota: Daripada Part 1 hinggalah Part 21 nanti... beginilah keadaannya. Kita akan meloncat daripada suatu hal kepada suatu hal yang lain sehinggalah tiba di Part 22 hingga Part 27 nanti, barulah kita boleh membuat perkaitan tentang semua hal yang meloncat-loncat ini]
Pernahkah kita terfikir... apa sahaja yang kita rasa kita kini tahu adalah datangnya daripada saluran-saluran yang telah ditetapkan. Ditetapkan oleh siapa?
Daripada program-program televisyen serta radio, kandungan buku-buku, kandungan majalah-majalah serta suratkhabar hinggalah kepada sukatan pembelajaran di semua peringkat sekolah yang kita lalui... ianya adalah dikawal serta ditetapkan oleh suatu makhluk, lembaga atau entiti yang tidak pernah kita kenali. Kita juga sukar untuk menolak hakikat bahawa apa yang diajarkan oleh ibubapa, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan masyarakat sekeliling kita juga berasal daripada saluran-saluran yang telah ditetapkan ini sejak zaman berzaman. Ada juga yang mungkin bertanya... “bagaimana pula dengan internet?” Jawapannya tetap sama... kandungan internet pun asalnya ialah daripada saluran-saluran yang telah disebutkan sebelum ini.
Persoalan-persoalan perdana yang timbul di sini ialah... Ada kemungkinankah entiti berkuasa yang tidak kita kenali ini dengan sengaja telah menetapkan kandungan-kandungan serta saluran-saluran pengetahuan kita dengan tujuan-tujuan tertentu? Mungkinkah salah satu tujuannya ialah untuk menghalang kita daripada mengetahui sesuatu? Jika benar begitu... Apakah yang mereka tidak ingin kita tahu?
Seseorang pernah mengajarkan kepada saya... semua yang terkandung di dalam alam ini hanyalah asalnya daripada benang-benang halus yang bergetar. Benang-benang ini sangat halus sehingga tiada mikroskop yang cukup hebat untuk kita melihatnya.
Hanya benang-benang halus yang bergetar? Benarkah begitu?
Benang-benang ini pula dikatakan menerima arahan-arahan daripada suatu sumber kuasa yang memberikan “arahan-arahan suci (divine instructions)”. Apabila menerima arahan, benang-benang ini hanya berbuat dua perkara sahaja... benang-benang ini hanya tahu untuk kadang-kadang patuh dan kadang-kadang engkar. Itu sahaja kerjanya benang-benang ini. Benang-benang ini ada yang panjang menjalar dan ada pula yang hujungnya saling bersentuhan membentuk bulatan-bulatan.
Kebelakangan ini, saintis-saintis sekular telah mula mengakui kemungkinan bahawa benang-benang halus ini mungkin benar-benar wujud. Mereka memanggil kajian tentang benang-benang halus ini sebagai “Teori Benang”, “String Theory” atau “M-Theory”.
Sekarang cuba bayangkan... kita mempunyai kuasa membentuk benang-benang ini untuk menjadi apa sahaja yang kita suka. Ada yang kita arahkan untuk menjadi huruf “A”, “B”, “C” sehinggalah huruf “Z”. Daripada huruf-huruf ini kita boleh membentuk perkataan-perkataan yang kemudiannya boleh pula diatur menjadi ayat-ayat.
Sekarang cuba bayangkan pula, apa yang akan terjadi apabila ada benang-benang yang kita telah arahkan tadi engkar? Yang kita arahkan untuk jadi huruf “A” tiba-tiba engkar arahan dan menjadikan diri mereka huruf “H”. Yang kena jadi “B” tiba-tiba engkar arahan dan menjadikan diri mereka huruh “P”. Apa pula akan jadi kepada perkataan-perkataan serta ayat-ayat yang dibina daripada benang-benang yang engkar ini?
Baiklah... setakat ini dahulu. Tujuan nukilan EX NIHILO NIHILO FIT (Part 1 of 27) adalah untuk percubaan sahaja. Bagi anda yang merasakan ianya hanyalah mengarut atau tidak berfaedah... tidak mengapalah. Harap abaikan sahaja nukilan ini. Akan tetapi, bagi yang ada minat... InsyaAllah saya akan sambung tulis lagi bahagian-bahagian yang seterusnya bila ada mood nanti.
Wassalam - zulsegamat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan