Isnin, 1 Oktober 2012

SESUATU YANG LEBIH BAIK DARI INSURAN DAN TAKAFUL.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 
Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Nya

Dari Umar r.a. katanya; "Siapa yang hafaz sebuah hadis dari Nabi SAW  berkenaan fitnah?" Jawab Huzaifah, Aku mendengar baginda bersabda: "Fitnah seorang dalam keluarga, dalam hartanya dan tetangga dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah." 
(Hadis Riwayat Bukhari)



Ini adalah kisah benar!

Ali Muhammad (Bukan nama sebenar) merupakan seorang kakitangan kerajaan berjawatan tetap dan dalam masa yang sama juga merupakan seorang perunding takaful separuh masa bagi sebuah syarikat yang ternama di Malaysia. Beliau baru sahaja menceburkan diri sebagai perunding takaful selama setahun.

Sebelum  Ali Muhammad  menceburkan diri sebagai perunding takaful, pada waktu itu isterinya masih bekerja dan sedikit sebanyak telah membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga termasuk seorang anak sulong yang baru mencecah usia 5 bulan. Namun setelah  Ali Muhammad  menjadi perunding Takaful,  Ali Muhammad  telah memujuk isterinya agar berhenti kerja dan menjaga anak kerana selama ini mereka duduk berjauhan,  Ali Muhammad  di selatan semenanjung dan isterinya di Sepang, Selangor. Tambahan pula  Ali Muhammad yakin dengan kerjaya sambilannya sebagai perunding takaful akan dapat meringankan beban perbelanjaan apabila isterinya berhenti kerja kelak.
Akhirnya si isteri akur dan setuju untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa di Johor Bahru.

Namun, selepas 5 bulan isterinya berhenti kerja dan menjadi suri rumah di Johor Bahru,  Ali Muhammad  pula telah mendapat berita kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke Putrajaya. Timbul rasa menyesal pula kerana rumah yang disewa oleh isteri di Sepang semasa bekerja di sana tidak jauh dari Putrajaya tempat beliau dinaikan pangkat. Kalaulah dia tahu yang dia akan dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Putrajaya, tentu  Ali Muhammad  tidak akan suruh isterinya berhenti kerja. Isterinya juga menyalahkan  Ali Muhammad  kerana keputusan tersebut dianggap tidak tepat.  Ali Muhammad  menjadi serba salah dan bingung dengan keadaan itu. Dia bingung sama ada hendak menerima atau menolak tawaran kenaikan pangkat tersebut

Akhirnya dia memilih untuk menerima tawaran kenaikan pangkat tersebut dan berpindah bersama isteri dan anak ke rumah sewa di Sepang dan berulang alik dari situ ke Putrajaya tempat kerjanya yang baru.

Menjadi perunding takaful secara part time bukannya mudah. Kena jaga prestasi jualan dan dalam masa yang sama terikat dengan komitmen kerja di pejabat.  Ali Muhammad  sedar akan perkara ini dan ia sememangnya memeningkan memandangkan dia masih lagi baru di dalam bidang takaful. Adakalanya dia menjadi stress memikirkan perkara ini kerana telah banyak modal dihabiskan sebagai perunding takaful namun pelanggan tidak juga bertambah. Sudahlah isteri tidak bekerja.  Ali Muhammad  memamg benar-benar tertekan dan mudah sahaja beliau menjadi seorang yang pemarah dan sering mengeluh

Pada suatu hari iaitu pada hari Jumaat,  14 Syaaban 1432 Hijrah / 15 Julai 2011,  Ali Muhammad  telah pergi ke Seremban bersama isteri dan anak atas urusan dengan pejabat peguam bagi proses pembelian rumah yang beliau duduki dan menyewa di Sepang. Ini adalah rumah pertama beliau. Semasa beliau cuba memasuki sebuah kawasan parkir berbayar di bandar Seremban, penghalang parkir telah gagal berfungsi dan tidak naik seperti biasa.


Oleh kerana palang tidak naik,  Ali Muhammad  pun mengundurkan kereta dengan penuh berhati-hati dan perlahan sekali. Semasa hendak mengundurkan kereta, tiba-tiba dia ternampak melalui cermin pandang belakang akan kelibat seorang penunggang motosikal yang tiba-tiba muncul dan berada di belakang keretanya. Lalu penunggang motosikal tersebut terus menghampiri  Ali Muhammad  dan mengetuk pintu cermin kereta dan memandang dengan perasaan tidak puas hati dan marah.  Ali Muhammad  pun turunkan cermin kereta dan memandang tepat muka penunggang motosikal tersebut. Rupanya seorang apek tua dalam usia lebih kurang dekat 60 tahun

Ali Muhammad yakin yang dia tidak melanggar apek tua tersebut kerana tidak ada sebarang tanda kerosakan pada motosikalnya dan apek tua ersebut tidak pula terjatuh, jauh lagi tercedera. Tiba-tiba apek tua tu pun bersuara .."Ini sapa mau ganti? Sapa mau ganti?" Dia terkejut dan jadi bingung seketika. Diperhatikan apek tua itu dari atas ke bawah, namun tiada apa-apa yang rosak pada motosikalnya dan apek tu pun tidak cedera. Lalu dia pun membuka mulut.. Mau ganti apa? Lu ok je nampak.. moto tak de rosak pun". Apek tua tu sekali lagi bersuara. " Ni sapa mau ganti? sambil menunjukkan ke arah bahagian hadapan  mud guard.


"Eh apek, ini cat calar sikit je, pergi polish sudah boleh hilang la. Apa pasal saya mau ganti pula. Lagi pun bukan saya yang langgar, you yang langgar saya" bentak  Ali Muhammad  bengang. Tapi apek tua tu tetap tak puas hati. Sekali lagi apek tu bersuara. Kali ni lebih tegas dan diulang tiga kali. "Ni sapa mau ganti? Sapa mau ganti? Sapa mau ganti?".  Ali Muhammad  semakin bertambah geram dengan sikap apek tua tu dan hampir sahaja dia mengeluarkan kata-kata kesat. "Eh eh orang tua ni" bisik hatinya. Namun dia cuba mengawal emosi dan menahan marah yang sedang membuak-buak. Dengan muka yang berkerut,  Ali Muhammad pun mengeluarkan dompet lalu memberikan apek tua tu RM10. "Nah, ambil ni!

Tanpa berlengah, apek tua tu mengambil duit tersebut dan terus sahaja memecut tanpa mengucapkan sepatah kata dan terima kasih. "Eeeee orang tua ni, betul ke tidak dia ni. Geramnya aku!" Jerit  Ali Muhammad  di dalam hati. Kemarahannya semakin membuak. Mukanya merah padam. Namun diahanya diam membisu menahan kemarahan. Dipandangnya wajah isteri dan anaknya. Masing-masing diam membisu dan tidak berkata sepatah apa pun. Setelah diam seketika, mereka sekeluarga pun beredar dari tempat tersebut dan terus menyambung urusan sehingga selesai.

Setelah selesai urusan di pejabat peguam di Seremban,  Ali Muhammad  pun bertolak pulang ke Sepang. Namun hatinya masih berasa marah dengan kejadian yang berlaku  Padanya apek tua tersebut tidak patut melayannya begitu dan rasa seolah-olah telah ditipu dan dipermainkan. Hatinya benar-benar tidak tenteram dan marah dan dadanya terasa amat sempit sekali. Begitulah keadaannya disepanjang perjalanan dari pejabat peguam sehinggalah hampir ke susur keluar Plaza Tol Seremban.

Namun entah tiba-tiba hati  Ali Muhammad  terdetik dan seperti  ada sesuatu yang berbisik di hatinya agar memaafkan kelakuan Apek tersebut dan menghalalkan sahaja wang RM10 yang diberikan dengan niat sedekah dan bersangka baik. Siapa tahu mungkin apek tersebut dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang. Lantas diapun menurut kata hatinya. Tiba-tiba segala rasa kemarahan yang dipendamkan hilang secara tiba-tiba dan dadanya yang sebelum ini berasa sempit terasa begitu lapang sekali selapang-lapangnya. Terasa seperti beban yang teramat berat dipikul tadi hilang entah ke mana. Sungguh ajaib. Jika sebentar tadi mukanya berkerut dan merah padam menahan kemaharan kini wajahnya mampu tersenyum dan ceria kelegaan dan kepuasan. Dia akhirnya berasa tenang dan tenteram sekali dan dalam keadaan tersebut dia memandu  keluar dari plaza tol Seremban menghala ke Nilai.


Semasa di dalam perjalanan di lebuhraya utara selatan di kawasan Seremban - Nilai, berlaku satu keadaan yang tidak diduga. Sewaktu memecut keretanya hampir 100 kilometer sejam, tiba-tiba tayar belakang sebelah kanan sebuah lori ayam (lebih kurang 1 tan berat) yang berada di hadapan tercabut dan melayang. Pada waktu itu, kenderaannya berada di lorong tengah mengekori lori tersebut dalam jarak 6-7 meter di hadapannya. Dengan spontan  Ali Muhammad pun menekan brek dan memperlahankan kenderaan. Dia dan isterinya dapat melihat jelas bagaimana tayar lori tersebut melayang dan melantun masuk ke lorong paling kanan lebuh raya. Dia sempat menjeling cermin sisi belakang dan melihat tayar lori tersebut masuk kawasan rumput yang memisahkan lebuh raya menuju ke Utara dan Selatan.  Pada awalnya dia memang mahu memotong lori tersebut, tetapi mujur tindakannya lewat sedikit pada saat tayar lori tersebut tercabut. Mujur juga disebelah lorong paling kanan tiada sebarang kenderaan. Jika tidak sudah tentu akan berlaku kemalangan yang dahsyat dan mengerikan.

Saiz lori 1 tan

Keadaan gawat masih berterusan. Kali ini  Ali Muhammad  melihat lori yang penuh dengan ayam di dalam raga dihadapannya berada dalam keadaan terhoyong hayang ke kiri dan ke kanan seperti hendak terbalik. Percikan api dilihat jelas pada jalan. Jika ikut logik dan hukum fizik lori tersebut mudah terbalik kerana membawa lebih muatan. Ajaibnya entah macam mana pemandu lori dapat mengawal keadaan dan berjaya masuk dan berhenti dilorong kecemasan. Mujur juga tiada kenderaan yang lalu pada sebelah kiri lorong lebuh raya. Kejadian tersebut benar-benar mencemaskan dia dan isterinya. Terasa jantung berdegup kencang. Semuanya berlaku begitu pantas. Namun syukur semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan dan kejadian yang tidak diingini berlaku. Akhirnya mereka berjaya sampai kerumah dengan selamat dan  Ali Muhammad  sempat menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.


Tidak lama selepas itu, bulan Ramadhan pun menjelma. Seperti biasa  Ali Muhammad  akan sentiasa runsing memikirkan kerja Part Timenya sebagai perunding takaful. Pada suatu hari di bulan Ramadhan, dia melakukan operasi pembersihan disebuah bilik perpustakaan kecil di pejabat bersama rakan setugas. Perpustakaan tersebut tidak berfungsi lagi dan hanya menjadi tempat menyimpan dokumen dan buku-buku lama yang tidak digunakan . Setiap buku dan dokumen yang dijumpai pasti akan membelek dengan teliti dan mengambil masa yang lama untuk diasingkan. Ini kerana dia memang seorang yang gemar membaca. Tiba-tiba dia terpandang sebuah buku berwarna merah jambu yang tebal isinya. Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa) Jilid 1 & 2. Begitulah tajuknya.
"Eh, ini buku agama rupanya. Tebal betul buku ni"  bisik hati  Ali Muhammad. Sepanjang 30 Tahun usianya dia tidak pernah melihat dan membaca buku agama setebal 1014 muka surat. dia kemudiannya mengambil buku tersebut untuk dibaca dirumah.



Setelah beberapa hari menyimpan buku tersebut dirumahnya, kemudian barulah berkesempatan untuk membaca. Pada suatu malam di pertengahan bulan puasa,  Ali Muhammad  mengambil kitab tersebut lalu terus sahaja membuka pertengahan kitab tersebut secara tidak sengaja. Tertulis di muka surat 465 bertajuk BAB SEDEKAH DAPAT MENGHINDARKAN BALA DARI YANG BERSEDEKAH

Abu-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abul-Faraj Al-Azdi berkata : Nabi Isa a.s berjalan di suatu dusun, sedang didusun itu ada tukang penatu, maka penduduk dusun itu berkata : Ya Isa, tukang penatu itu  selalu merobekkan pakaian kami, lalu ditahannya, kerana itu doakan kepada Allah semoga ia tidak dapat membawa bungkusan baju-baju itu ke rumahnya. Maka Nabi Isa a.s berdoa: Ya Allah, jangan engkau kembalikan ia dengan bungkusan itu, maka pergilah tukang penatu itu untuk menatu pakaian dan membawa tiga potong roti, tiba-tiba seorang Abid yang biasa bertapa di bukit memberi salam kepada tukang penatu dan bertanya: Apakah engkau mempunyai roti untuk kau berikan kepadaku, atau perlihatkan saja kepadaku untuk dicium baunya sebab aku tidak makan sejak lama, maka langsung diberikan sepotong roti, maka berdoa si Abid : Ya Qashar gahafara' Allah laka dzanbaka wathahhara qalbaka (semoga Allah mengampunkan dosamu dan mensucikan hatimu)
Maka diberikan sepotong lagi, maka didoakan : Ghafara Allahu laka ma taqaddama min dzanbika wama ta'akhkhara (Semoga Allah mengampunkan bagimu dosamu yang alalu dan yang akan datang) lalu diberi sepotong roti, lalu ia berdoa: Ya qashshar bana Allahu laka Qashran filjannati (Semoga Allah membangun untukmu gedung di sorga). Maka kembali tukang penatu di waktu sore selamat. Ketika orang dusun melihat tukang penatu kembali selamat, langsung mereka lapor kepada Nabi Isa a.s bahawa tukang penatu itu telah kembali selamat. Nabi Isa a.s berkata: Panggilah ia ke sini, dan ketika datang menghadap nabi Isa beliau ditanya : Apakah engkau kerjakan hari ini hai tukang penatu? Jawabnya: Saya tadi didatangi seorang Abid yang biasa beribadat di atas bukit, dan minta makanan kepadaku, maka saya berikan kepadanya tiga potong rotiku, dan pada tiap potong ia berdoa. Nabi Isa berkata: Coba serahkan kepadaku bungkusanmu untuk aku lihat, maka ketika dibuka oleh Nabi Isa a.s terdapat didalamnya ular yang hitam terikat mulutnya dengan kendali besi. Nabi Isa a.s bertanya: Hai ular. Jawabnya: Labbaika ya Nabiya Allah. Tidakkah kau diutus untuk orang ini? Jawabnya: Benar. Tetapi ketika ia kedatangan Abid dari bukit dan minta makan kepadanya, maka tiap roti yang diberikan kepadanya berdoa dan diaminkan oleh malaikat maka Allah mengutus Malaikat datang untuk mengendalikan aku dengan kendali besi. Maka nabi Isa a.s berkata: Hai tukang penatu, perbaikilah amal perbuatanmu, maka sungguh Allah telah mengampunkan bagi berkat sedekahmu.
*Tukang penatu adalah seorang tukang cuci (Kamus Indonesia)
"Hmmm... ajaib! Hanya kerana 3 potong roti yang diberikan kepada orang yang meminta, maka dia (tukang penatu) terselamat dari patukan ular yang dihantar sebagai hukuman dosanya" bisik hati Ali Muhammad. Kemudian  dia melanjutkan bacaan lagi.

Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Salim bin Abil-Ja'di berkata :
Ada seorang wanita keluar membawa anaknya, tiba-tiba anak itu diterkam serigala, maka dikejar oleh ibunya. Tiba-tiba ada peminta-minta, maka diberikan roti yang ditangannya kepada peminta-minta itu. Tiba-tiba datang serigala itu mengembalikan anaknya kepadanya. Lalu ia mendengar suara sesuap dengan sesuap. 

"Ini sungguh ajaib! Bagaimana mungkin serigala dapat mengembalikan  mangsanya seorang anak yang diterkam kepada ibunya hanya kerana ibunya memberikan roti kepada orang yang meminta-minta." Begitulah bisik hatinya lagi. Tiba-tiba Ali Muhammad teringat akan kejadian tempoh hari di kawasan parkir di bandar Seremban dan di Plus Highway -  jalan Seremban ke KL pada 14 Syaaban 1432 hijrah/ 15 Julai 2011. Wajah seorang apek tua bermotosikal, RM 10, sebuah lori ayam dan tayar belakangnya tercabut terbayang dan berlegar dikepalanya. Kemudian hatinya dengan spontan berbisik lagi, "Sungguh ini lebih baik dari Insurans dan Takaful. Dia membelek lagi kita tersebut. Kali ini dia pergi ke bahagian Isi Kandungan menilik tajuk-tajuk yang ada di dalamnya. Muka surat 452 - Tajuk : Fadhilah Keutamaan Sedekah.
Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar al-Ghifari r.a. berkata:
‘Solat itu sendi agama, dan jihad sebagai tulang punggung (setinggi) amal, dan sedekah itu suatu yang ajaib (baik) (disebut tiga kali). 
Dan ketika ditanya tentang puasa. 
Jawabnya: Itu untuk taqarrub kepada Allah dan tidak ada kelebihannya. 
Ditanya: Sedekah yang manakah yang lebih utama? 
Jawabnya: Yang terbanyak, kemudian menyebutkan kamu tidak akan dapat mencapai bakti yang benar-benar, sehingga mengorbankan apa yang sangat engkau suka. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Kelebihan makanan. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Membantu dengan kekuatan tenaganya. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Menjaga diri dari api neraka walaupun dengan sedekah separuh dari sebiji kurma. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Menahan diri, yakni tidak menggangu orang. 
(Di lain riwayat semua keterangan ini adalah dari Rasulullah saw.)
"Hmmm... benarkah sedekah itu dapat memberikan keajaiban kepada orang yang bersedekah?" Ali Muhammad berbisik tanya di dalam hati. Dia melanjutkan bacaanya lagi.
Nabi s.a.w bersabda : Jagalah harta kekayaanmu dengan mengeluarkan zakat, dan obatilah orang-orang yang sakit dengan bersedekah dan  hadapilah berbagai macam bala itu dengan doa (berdoa)
Abdurrahman Assalamani Maula dari Umar r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda:
 Jika datang seorang minta-minta maka jangan kamu putus permintaannya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kamu berbuat terhadap nikmat yang telah diberikan Allah kepadamu.

Ali Muhammad termenung seketika. Hatinya sekali lagi berbisik. " Apakah benar orang yang sakit itu boleh disembuhkan hanya dengan mengeluarkan sedekah sahaja? Siapakah apek tua yang naik motosikal hari tu dan meminta wang dari aku?" Kitab Tanbihul Ghafilin itu dibacanya lagi.
Said bin Mas'ud Alkindi berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiada seorang yang bersedekah pada siang hari atau malam hari melainkan terpelihara pada hari itu dari mati tergigit binatang berbisa atau kejatuhan bangunan atau mati mendadak"
Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:
 Tidak akan berkurang harta kerana sedekah  dan tiada seorang yang memaafkan sesuatu aniya kedhaliman melainkan Allah menambah kemuliaannya dan tiada seorang yang tawadhu' (merendah) kerana Allah melainkan Allah menaikkan derajatnya.
Ikrimah dari Ibn Abbas r.a berkata: Dua dari Allah Ta'ala, kemudian membaca ayat:
ß`»sÜø¤±9$# ãNä.ßÏètƒ tø)xÿø9$# Nà2ããBù'tƒur Ïä!$t±ósxÿø9$$Î/ ( ª!$#ur Nä.ßÏètƒZotÏÿøó¨B çm÷ZÏiB WxôÒsùur 3 ª!$#ur ììźur ÒOŠÎ=tæ ÇËÏÑÈ  
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu Dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan Yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya. (Al-Baqarah -268)

Abdullah bin Mas'ud r.a berkata:
Jika engkau dapat meletakkan tabunganmu (simpananmu ditempat yang tidak dapat dimakan oleh ulat dan tidak terambil oleh pencuri, maka laksanakanlah, iaitu dengan sedekah.

 Abul-Laits r.a berkata:
Bersedekahlan dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, lima di dunia dan lima diakherat. Adapun yang di dunia maka: 1. Membersihkan harta kekayaan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w : Ala innal bai'a yah dhuruhul laghwu, walhalifu walkadzibu fasyubuhu bissadaqati(Ingatlah bahawa jual beli selalu diliputi laghghu, sumpah dan dusta, kerana itu selingilah (campurlah dengan sedekah). 2. Membersihkan badan dari dosa-dosa, sebagaimana firman Allah : Khudz min amwalihim shdaqatan  tuthhhiruhum watuzakkihim biha. (Ambillah dari harta mereka  sebagai sedekah untuk membersihkan dan mensucikan mereka. 3. Menolak bala' dan penyakit, sebagaimana sabda Nabi s.a.w: Dawu mardhakum bishshadaqati (Obatilah orang-orang sakit itu dengan sedekah). 4. Menyenangkan hati orang miskin, sedang sebaik-baik amal menyenangkan kepada orang mu'min. 5. Menjadikan berkat dalam harta, dan luas rizqi, sebagaimana firman Allah: Wama anfaqtum min syai in fahuwa yukhlifuhu (Dan semua yang kamu sedekahkan maka Allah akan menggantinya).                                                                        
Adapun lima yang di akherat, maka:
1. Sedekah itu akan menjadi naungan baginya. 2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya. 3 Memberatkan timbangan amal kebaikannya. 4. Memudahkan menyeberang di atas shirat. 5. Bertambah derajat di sorga.

"Apakah benar-benar sedekah itu dapat mengubati orang yang sakit dan dapat menolak bala'?" Ali Muhammad tertanya-tanya di dalam hati. Dan pertanyaan itu sememangnya membuatkan dia tidak senang dan gelisah kerana apa yang dia baca di dalam kitab tersebut bercanggah dengan kepercayaannya selama ini. Sebagai seorang ejen takaful dia meyakini bahawa insuran dan takaful itu sudah pasti akan memudahkan orang yang sakit untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta dan sudah pasti kebarangkalian untuk sembuh itu adalah tinggi kerana kemudahan perubatan yang canggih dan terbaik disediakan di hospital-hospital swasta.

Apa yang diajarkan di dalam bidang insurans dan takaful ialah insurans dan takaful itu bertujuan  untuk meringankan atau mengurangkan risiko kehilangan pendapatan atau nilai ekonomi apabila seseorang itu ditimpa bencana, kemalangan mahupun penyakit kritikal. Namun, apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w jauh lebih baik kesannya berbanding skim insurans dan takaful.

Dari persoalan dan keraguan yang timbul itu, maka Ali Muhammad mula mencari dan mendapatkan kitab-kitab yang berkaitan dengan bab sedekah. Dia juga cuba Google untuk mendapatkan info berkaitan sedekah. Nah! hasilnya bukan kepalang sedikit, bahkan terlalu banyak bukti penulisan yang jelas menunjukkan keajaiban sedekah. Lebih dari itu, dia juga menemui bukti di depan mata, apabila anak buahnya di pejabat yang disangka tiada harapan kerana hatinya telah rosak, akhirnya telah pulih sembuh kerana ada penderma organ disaat akhir. Apabila ditanya apakah ada amalan khusus yang dilakukan?  Jawapnya ialah SEDEKAH! Kedua ibu-bapanya telah menghabiskan wang RM10,000 dengan memberi makan kepada ahli jemaah masjid sepanjang tempoh sakit.

Ali Muhammad menjadi sedikit bingung dan kusut pada mulanya. Namun setelah diteliti dan dibuat sedikit kajian, dia semakin yakin atas apa yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan. Sekarang dia perlu melakukan penilaian yang terperinci dan itulah azamnya. Dia perlu menilai semula sistem insuran dan takaful dari sudut pandangan agama. Entah bagaimana keinginannya itu timbul dan membuak-buak. Dia merasakan seperti ada yang tidak kena pada sistem insurans dan takaful walaupun sistem takaful itu sendiri dianggap lebih baik berbanding insurans konvesional kerana faktor akad serta niat transaksi dan ini telah disahkan oleh Majlis Fatwa. Dia merasakan bahawa isu takaful ini sama seperti isu perbankan Islam yang merupakan "riba melalui pintu belakang". Mungkin juga ia mengukuhkan lagi sistem riba sedia ada atau paling tidak ia menyokong kepada sistem riba itu sendiri.

Ali Muhammad begitu bersyukur sekali kerana telah diberikan petunjuk akan sesuatu yang lebih baik buat dirinya dan keluarga. Peristiwa ini telah membuat dia berubah secara mendadak. Berasa diri lebih tenang dan yakin berbanding sebelumnya.

Sedekah dapat menolak bala petaka dan menyembuhkan penyakit. Manakala insurans dan takaful itu hanya dapat menyediakan satu bentuk pampasan berupa wang sekiranya ditimpa petaka. Yang pertama (sedekah) bersifat proaktif@mencegah, menghalang, menghapus dan menyembuhkan dengan cara yang tidak disangka kerana mendapat pertolongan langsung dari Allah. Manakala yang kedua (Insuran dan takaful) hanya bersifat reaksi@reaktif, iaitu selepas petaka menimpa dan hasilnya belum pasti kerana ia bergantung kepada sistem yang dicipta oleh manusia yang pasti ada kekurangannya. Apatah lagi ia bersandarkan kepada sistem kewangan yang ternyata berhubungan langsung dengan riba (juga riba pintu belakang).

Nah! Jika diminta agar dipilih salah satu antara duanya, yang mana satukah akan menjadi pilihan?

source: fenomenazaman.blogspot

Khamis, 27 September 2012

Dajjal Itu Seorang Manusia?


PENDAHULUAN

Apakah Dajjal itu? Manusiakah? Jin? Kumpulan? Ideologi? Gergasi? Lain-lain? Ada pelbagai pandangan para ilmuwan dan pengkaji. Tulisan ini akan membentangkan beberapa sandaran berupa hadis dan atsar yang menyokong pendapat yang mengatakan Dajjal itu ialah manusia.

SANDARAN-SANDARAN DAN ULASAN

Suatu hari Rasulullah saw bermimpi bertawaf di Baitullah dan dia ternampak Nabi Isa dan Dajjal. Katanya : “Dia (Dajjal) itu seorang yang gemuk, berkulit merah, berambut keriting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak.” (Bukhari).

Mula-mula Rasulullah ternampak Nabi Isa dan kemudian dia ternampak Dajjal. Nabi Isa seorang manusia, maka berkemungkinan besar Dajjal itu juga seorang manusia. Tambahan lagi ciri-ciri seperti gemuk, berkulit merah, berambut keriting dan buta sebelah mata ialah ciri-ciri manusia.

(Nabi berkata kepada Saiyidina Umar) : “Jika dia (Ibnu Sayyad, seorang lelaki yang disangkakan Dajjal oleh sebahagian sahabat) ialah Dajjal, maka engkau tidak dapat menguasainya. Tapi jika dia bukan, maka tidak ada kebaikan untuk engkau membunuhnya.”(Bukhari). (1)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah sendiri tidak pasti sama ada Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan. Dalam artikel ini, perbahasannya bukanlah Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan, tetapi Dajjal itu manusia ataupun bukan manusia. Oleh itu kita terus kepada matlamat kita.

Nampaknya Rasulullah sendiri tidak menolak kemungkinan Dajjal ialah seorang manusia. Kalau tidak, sudah tentu awal-awal lagi dia sudah memberitahu kepada para sahabat bahawa Ibnu Sayyad bukanlah Dajjal.

Muhammad bin Al-Munkadir berkata, “Aku menyaksikan Jabir bin Abdullah bersumpah dengan nama Allah bahawa Ibnu Sayyad ialah Dajjal. Aku bertanya kepadanya, “Engkau bersumpah dengan nama Allah?” Dia menjawab , “Aku mendengar Umar bersumpah begitu di sisi Nabi tetapi baginda tidak mengengkarinya.” (Bukhari)

Jelasnya Rasulullah tidak menolak bahawa Dajjal itu seorang manusia. Jika tidak, sudah tentu dia mengengkari sumpah Saiyidina Umar yang mengatakan Ibnu Sayyad ialah Dajjal.

Abdullah bin Umar berkata : “Demi Allah, aku tidak ragu-ragu bahawa Al-Masih Dajjal ialah Ibnu Sayyad.” (Abu Daud)

Memang terdapat beberapa orang sahabat yang percaya Dajjal ialah manusia, kerana Ibnu Sayyad seorang manusia.

“Dajjal cacat mata kirinya dan rambutnya keriting seperti buih kerana lebatnya.” (Muslim)

Sekali imbas nampaknya ini ciri-ciri seorang manusia.

“Sesungguhnya Dajjal itu matanya terhapus dan di atasnya terdapat selaput mata yang tebal…….” (Muslim)

“Dajjal itu buta matanya sebelah kiri dan lebat rambutnya.” (Muslim)

Ini juga ciri-ciri seorang manusia.

Lagi bukti para sahabat tidak menolak bahawa Dajjal ialah manusia :
Ibnu Sayyad (yang dianggap Dajjal)  berkata kepada Abu Said, “Aku bertemu orang ramai dan mereka menyangka aku ini Dajjal. Bukankah engkau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Dajjal tidak punya anak?” Abu Said menjawab , “Betul.” Kata Ibnu Sayyad lagi : “Padahal aku mempunyai anak…….” (Muslim)

Seterusnya :
“Sesudah itu Allah mengutus Isa ibnu Maryam, ia seperti ‘Urwah bin Mas’ud ats-Tsaqafi, lalu muncullah, kemudian dia membunuh Dajjal.” (Muslim, Ahmad)

Nabi Isa membunuh Dajjal. Pernyataan sebegini memang sesuai untuk manusia.

Dalam Sahih Muslim, diriwayatkan Tamim Ad-Dari bertemu dengan Dajjal di sebuah pulau. Lelaki itu badannya besar dan terbelenggu. Rasulullah sendiri mengesahkan orang itu ialah Dajjal.

KESIMPULAN

Berdasarkan sandaran-sandaran yang dikumpulkan ini, memang sukar untuk kita menafikan bahawa Dajjal bukan manusia. Wallahua’lam.

Dari Sumber: Ustaz Abu Zulfiqar

Isnin, 17 September 2012

Soalan: Bagaimana Nak Beli Rumah dan Kereta Tanpa Riba?

Berikut adalah soalan yang selalu ditanyakan kepada SIH dan disertakan jawapan yang ditulis sendiri oleh SIH yang saya ambil dari laman web rasmi beliau dan saya telah terjemahkan dalam BM. InsyaAllah dari semasa ke semasa saya akan menambahkan lagi soal jawab ini.
Soalan: Saya tidak mampu untuk membeli sebuah kereta dan rumah tanpa meminjam dari bank. Bagaimanakah caranya saya dapat mengelakkan dari riba?
Jawapan SIH: Kamu boleh jika kamu mahu.Biar saya beritahu kamu bagaimana cara saya lakukannya.

Saya dah memasuki 5 Universiti.
Saya pernah menjadi seorang Diplomat di bahagian perkhidmatan luar negara dalam negara saya (Trinidad).
Saya telah meletakkan jawatan saya.
Ramai orang Pakistan yang beritahu yang saya telah melakukan perkara yang bodoh kerana melepaskan jawatan sebagai diplomat semata2 untuk menjadi seorang pendakwah.

Jika saya tidak melakukan perkara demikian, maka saya tidak dapat bersama kamu hari ini(berceramah mengenai Islam)
Ada benda dalam hidup kita yang tidak dapat dibeli dengan wang. Sekarang ini umur saja sudah menghampiri 70 tahun.
Saya tidak pernah memiliki rumah sebelum ini. Hanya pada tahun 2005, saya telah membina sebuah rumah yang hanya ada 1 bilik sahaja. Dan sebelum saya meninggalkan Trinidad (awal 2011)untuk datang ke lawatan ceramah, saya baru mampu untuk membina tingkat atas rumah saya yang mempunyai 2 lagi bilik tambahan.
Inilah cara bagaimana rumah dibina pada zaman dahulu. Saya tidak pergi ke bank untuk membuat pinjaman untuk membiayai pembinaan rumah saya. Tidak!

Sebelum ini saya menyewa sebuah pangsapuri. Saya tinggal di New York selama 10 tahun...dalam sebuah pangsapuri yang sempit.
Saya tidak mampu untuk menyewa yang lebih baik dari itu.
Tapi saya lakukan perkara itu demi untuk mempertahankan kepatuhan saya dalam Islam...

Saya telah tinggalkan New York pada 2011 setelah tinggal di US selama 12 tahun. Kereta yang saya bawa berharga $500 sahaja.
Jadi itulah peraturan dunia; jika kamu mahu memiliki kerja yang bagus, rumah yang besar, kereta yang besar, teruskanlah, pergilah meminjam dengan bank.
Dan jika kamu berada di dalam api neraka nanti, jangan hubungi saya. Jangan talipon atau email saya dari Jahannam.

Atau kamu boleh ikuti jalan yang sebaliknya. Iaitu walaupun kamu terpaksa melepaskan rumah besar kamu, melepaskan kereta kamu, melepaskan kerja kamu, meninggalkan kediaman dan bandar kamu dan berhijrah ke dalam gua di tepi bukit, Saya lebih suka melakukan demikian daripada melepaskan / meninggalkan agama saya (Islam).

Syeikh Imran Hosein

Jumaat, 27 Julai 2012

Syahidah Pertama Dalam Sejarah: Sumayyah Binti Khubath Radhiallahu Anha Ahad

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda "Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah syurga".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendoakan keluarga Yasir, "Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka".

Keluarga yang agung dan mulia ini menghimpunkan segala sisi keutamaan. Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum menebarkan aroma kemuliaan dan ia tersebar dari generasi terawal memeluk Islam sehinggalah ke generasi akhir zaman. 

Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik berasal dari Yaman. Beliau datang ke Mekah bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam rangka menjejaki saudaranya. Mereka berdua kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir terus menetap di Mekah. Beliau kemudiannya menjalin persahabatan dengan Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy, yang kemudiannya menikahkannya dengan seorang hamba wanita, Sumayyah bintu Khubath, lalu melahirkan seorang anak lelaki, bernama Ammar. Abu Hudzaifah kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala Yasir dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal dunia.

Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh pelosok Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura. Beliau seorang wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia senja. Namun, beliau memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara dan semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah memulakan dakwah baginda, keluarga Yasir muncul sebagai di antara manusia terawal mengimani risalah Islam dan membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya yang mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita yang sabar dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan beliaulah adalah orang ketujuh yang masuk Islam dan di antara orang terawal yang menampakkan keislamannya. Hal ini disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby Rahimahullah di dalam bukunya, Siyar A'lamin-Nubala' menerusi riwayat Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhu, 

" Yang pertama sekali menampakkan keIslaman mereka secara terang-terangan ada tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat perlindungan dari bapa saudarany (Abu Talib). Abu Bakar mendapat perlindungan kaumnya. Yang lain-lain pula mengalami penyeksaan yang keras dari orang-orang musyrik, dikenakan baju besi lalu ditelantarkan di bawah terik matahari. Tidak seorang pun dari mereka kecuali harus memenuhi apa yang mereka inginkan, kecuali Bilal. Dia tidak peduli apa yang menimpa dirinya kerana Allah. Dia juga tidak peduli kepada kaumnya. Ketika dia diseksa, kanak-kanak kecil ikut sama mengerumuninya, dan dia hanya mampu mengucapkan, `Ahad, ahad, ahad".

Keluarga Sumayyah turut sama berada di barisan hadapan. Kemarahan kaum Quraisy benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas mereka adalah hembusan kebencian kepada orang-orang yang mengucapkan "Rabb kami adalah Allah". Penyeksaan-penyeksaan tidak pernah menjadikan kaum Muslimin berundur, malah mereka tetap istiqamah dan terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. 

Sementara itu, baginda hanya mampu meniupkan kata-kata semangat dan motivasi keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana tiada seorangpun yang mampu memberikan jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga itu menerima pelbagai jenis penyeksaan dari orang-orang musyrik yang terbakar oleh api dendam dan kebencian terhadap dakwah Islam. Mereka memuaskan keinginan yang gila dengan menyeksa Sumayyah dan keluarganya. Ibnu Atsir Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya, Usdul Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh Sumayyah dengan berkata, "Dia termasuk orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan dia juga termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat seksaan yang keras kerana Allah".

KELUARGA YANG SABAR
Tiada yang mampu dilakukan manusia kecuali terkagum terhadap keluarga Yasir, sebuah keluarga yang mulia, yang diberi kemudahan, dan yang mampu menggegarkan para pemimpin kaum musyrikin Mekah. Mereka yang sebelumnya dikenali sebagai orang-orang yang lemah lembut, tidak lagi mempunyai sifat itu tatkala berhadapan dengan kaum kafir yang cuba mengoyakkan keimanan mereka. Bahkan kaum musyrikin hampir hilang akal kerana rasa marah ketika melihat keluarga ini semakin tenang dan mantap, tidak gerun terhadap seksaan, tidak beranjak sedikit pun dari akidah mereka, malah tidak surut kesabaran mereka ketika dijemur di bawah terik matahari dalam keadaan kehausan. Ketegaran keluarga ini membuatkan kaum musyrikin kehairanan, bingung dan semakin berang. Mereka mengheret Ammar bersama kedua ibubapanya ke tengah-tengah padang pasir yang panas sepanasnya, agar mereka keluar dari Islam. Ironinya, keluarga sabar ini sentiasa bertambah keimanan mereka seiring dengan semakin pedihnya seksaan. Mereka semakin pasrah, terutamanya setelah mereka mendengarkan doa memohon pengampunan bagi diri mereka oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. 

Salim Abul-Ja'd meriwayatkan, beliau berkata, "Utsman memanggil beberapa sahabat Rasulullah, di antaranya terdapat Ammar bin Yasir. Ustman berkata, `Aku akan menyampaikan kepada kalian hadis tentang Ammar. Aku bersama Rasulullah pergi ke Al-Bathha' sehingga kami menemui Ammar berserta ibubapanya ketika kaum musyrikin menyeksa mereka. Yasir berkata kepada Rasulullah, "Apakah selamanya aku akan begini?". Baginda bersabda, "Bersabarlah!". Kemudian baginda bersabda, "Ya Allah, berilah ampunan kepada keluarga Yasir, kerana Engkau telah berbuat apa yang Engkau Perbuat" . [Ditakhrij oleh Ahmad]

PENENTANGAN SUMAYYAH
Kaum musyrikin Quraisy hampir tidak pernah menghentikan seksaan terhadap Sumayyah dan keluarganya. Selepas suaminya meninggal dunia akibat penyeksaan, Sumayyah semakin menentang dan memberikan reaksi keras terhadap Bani Al-Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang dipelopori oleh Abu Jahal. Dia layaknya orang yang tidak waras dan tidak berperasaan ketika berhadapan dengan ketegaran Sumayyah mempertahankan akidahnya. Baginya, kedegilan Sumayyah ialah perlecehan terhadap dirinya. Sumayyah telah berjaya mencarik-carik kebesaran nama Abu Jahal di kalangan kaum musyrikin kerana kesabarannya terhadap kerasnya seksaan. Hati Abu Jahal hampir saja meledak kerana Sumayyah tidak mahu memperolok-olokkan dan mengeji nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, walau dengan hanya satu kata seperti yang dipaksakan Abu Jahal kepadanya.

Abu Jahal (semoga Allah menghinakannya), tidak membiarkan satu pun sarana untuk menghalangi manusia dari jalan Allah, melainkan dia akan menggunakannya. Dia tidak mendapatkan satu jalan pun untuk menekan orang-orang Mukmin, melainkan dia akan melaluinya. Ibnu Ishaq Rahimahullah, menyampaikan satu gambaran yang jelas tentang hal ini, dengan berkata,

" Abu Jahal, orang jahat yang terperdaya di tengah-tengah kaum Quraisy, jika mendengar berita seseorang masuk Islam, dan orang itu adalah orang yang terpandang dan mendapat jaminan perlindungan,maka dia hanya akan mengingatkannya dan menegurnya dengan berkata, `Kau tinggalkan agama bapamu, padahal bapa-bapamu adalah lebih baik darimu. Kami benar-benar akan mengalahkan pendapatmu dan benar-benar akan menghinakan kehormatanmu.'



Jika yang dihadapinya adalah seorang pedagang, maka dia akan berkata 'Demi Tuhan, kami benar-benar akan membuatkan kamu rugi dalam perniagaanmu, dan kami benar-benar akan menghancurkan harta bendamu'. Jika yang dihadapinya adalah orang yang lemah, maka dia akan memukul dan menyeksanya semahu-mahunya. Semoga Allah melaknat dan memburukkannya"

SYAHIDAH PERTAMA
Sumayyah Radiallahu Anha adalah wanita pertama yang menampakkan keIslamannya, di samping menjadi syahid pertama yang mengorbankan dirinya di jalan Allah. Dalam peristiwa kesyahidannya itu, terkandung pelajaran-pelajaran berharga bagi sesiapa yang memiliki hati atau mempunyai pendengaran. Beliau menjadi sosok syahid yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat sabar kepada para generasi seterusnya.

Setelah suaminya, Yasir meninggal dunia kerana penyeksaan yang sangat berat, Sumayyah Radiallahu Anha diserahkan pula oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal, sehingga si jahat itu dapat menyeksa dengan segala cara yang diinginkannya disamping mengejek-ejek diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sejuta sumpah seranah dan umpat keji. Suatu petang, Abu Jahal bersikap keras kepada Sumyyah, kemudian berkata kepadanya, "Engkau tidak beriman kepada Muhammad melainkan kerana engkau tergila-gila kepada ketampanannya".

Apa pula reaksi Sumayyah? Beliau memberikan jawapan yang tidak kalah kerasnya, lantaran kemarahannya yang tidak tertahan dengan tuduhan Abu Jahal itu. Keangkuhan Abu Jahal terbukti apabila beliau menikamkan tombak ke tubuh Sumayyah sehingga menyebabkan Sumayyah meninggal dunia sebagai syahid, rohnya naik kepada Penciptanya dalam keadaan redha dan diredhai, kerana telah memberikan kesaksian tidak berbelahbagi bahawa tiada Ilah selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul Allah.

Mujahid Rahimahullah berkata, "Syahid yang pertama di dalam Islam ialah ibu Ammar, Sumayyah yang ditikam Abu Jahal dengan menggunakan tombak, tepat di ulu hatinya" .(Al-Bidayah Wan-Nihayah, 3/59)

Ibnul Jauzy Rahimahullah berkata," Dia adalah syahid pertama di dalam Islam. Semoga Allah redha kepadanya sebagaimana Allah membuatkannya redha".

IBNU SUMAYYAH
Sumayyah, nama ini dan sahabiyah ini tetap hidup abadi menebarkan keharuman setelah mati syahid dan beruntung telah meraih keredhaan Allah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terbiasa memanggil anaknya Ammar, dengan sebutan "Ibnu Sumayyah". Maka, tidak dapat lagi dimungkiri bahawa panggilan yang diberkahi ini merupakan penghormatan terhadap sahabiyah yang sabar dan baik ini. Panggilan itulah yang lebih sering meluncur dari lisan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia.

Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhu pernah berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, `Jika manusia saling berselisih, maka Ibnu Sumayyah berada pada kebenaran". (Kisah ini disebutkan di dalam Siyar A'lamin-Nubala, 1/415-416; Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 3/575)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga sering menyebutkan nama Sumayyah dengan keutamaan dan kebaikan. Sewaktu Perang Badar, baginda menyampaikan khabar gembira bagi "orang baik yang mendapat kebaikan". (Julukan untuk Ammar, kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda kepadanya, `Selamat datang wahai orang baik yang mendapat kebaikan'). Di dalamnya disebutkan juga nama Sumayyah. Peristiwa ini dikisahkan ketika musuh Allah, Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar. Ketika itu Rasulullah menggembirakan Ammar dengan berkata "Allah telah membunuh orang yang membunuh ibumu".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mendoakan untuk Sumayyah dan keluarganya dengan doa yang diberkahi ketika Ammar mendatangi Rasulullah mengadu seksaan yang dihadapi oleh ibubapanya termasuk dirinya sendiri. Beliau berkata, "Wahai Rasulullah, kami mendapatkan seksaan yang sangat keras". Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Bersabarlah wahai Abul Yaqzhan (julukan lain bagi Ammar). Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka" (Al-Isti'ab, 4/325; As-Sirah Al-Halabiyah, 1/484)

NISA' MUBASSYARAT BIL JANNAH
Inilah kisah sahabiyah yang sabar, yang disajikan sirahnya sebagai wanita yang teguh hati pada kebenaran dan keimanan, sehingga menjadi pelopor di dalam perjuangan Islam sepanjang zaman. Ibnu Abdil-Barr Rahimahullah memuji Sumayyah dengan berkata, "Dia termasuklah orang yang diseksa kerana Allah, dan sabar di dalam menghadapi seksaan. Dia termasuklah wanita yang berbaiat, baik dan terutama" (Al-Isti'ab, 4/324)

Semoga Allah merahmati Sumayyah ibu Ammar, wanita dan orang pertama yang mati syahid di dalam Islam, ibu orang yang pertama membangun masjid dan digunakan untuk solat. Kesejahteraan bagi keluarga Yasir, kesejahteraan ke atas kalian kerana kesabaran kalian dan sesungguhnya kalian akan mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

"Terimalah khabar yang baik wahai keluarga Ammar, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga" (Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang disampaikan oleh Ustman Al-Affan. Dipetik dari Thabaqat Ibnu Sa'ad, 3/249; Majma' Az-Zawaid, 9/293; Tarikhul Islam Adz-Zahaby, 3/572)

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah telah memberi dari orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang kerana Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kalian lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (At-Taubah: 111)

Sumayyah bintu Khubath Radiallahu Anha termasuk sejumlah wanita yang terawal menerima Islam dan bersegera memenuhi janji Allah serta membenarkan apa yang telah dijanjikan Allah kepada kaum Muslimin, sehingga beliau berhak mendapat khabar gembira sebagai orang yang dijanjikan syurga. Bagaimana pula dengan kita sebagai kaum muslimah akhir zaman? Semoga kisah ini menjadi obor penyuluh dan menyemarakkan lagi semangat kita dalam mendakwahkan agama Allah ini sehingga tiba janji Allah yang seterusnya, "akan berdiri semula kekhilafahan di atas manhaj kenabian" [HR Ahmad]



CARA MENYELAMATKAN DIRI DAN BERJUANG DI ZAMAN GELAP, ZAMAN FITNAH DUHAIMA

Assalamualaikum. Bismillah CARA MENYELAMATKAN DIRI DAN BERJUANG DI ZAMAN GELAP, ZAMAN FITNAH DUHAIMA Sebagai seorang Muslim dan Muslimah, am...